LAWATAN KE PERPUSTAKAAN UBD AMAT BERMANFAAT KEPADA WARGA PPKS MIRI

(13 Mei 2018)




MIRI: Lawatan ke perpustakaan Universiti Brunei Darussalam (UBD) oleh sekumpulan pelajar dan kakitangan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) Miri baru-baru ini disifatkan sebagai satu peluang terbaik untuk mempelajari teknologi baharu yang boleh diaplikasikan di perpustakaan kolej tersebut.


Penasihat II Kelab Pustakawan PPKS Miri Noraini Sahaini berkata, lawatan yang pertama kali diadakan itu memberi pendedahan kepada ahli kelab mengenai perpustakaan dan cara pengendaliannya. “Ini akan memberi inspirasi kepada ahli kelab dalam dalam merancang pentadbiran perpustakaan PPKS Miri kelak.”

“Melihat kepada kecanggihan perpustakaan UBD ini sekali gus akan membuka minda ahli kelab untuk lebih kreatif dalam pengurusan perpustakaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Borneo.


Menurut Noraini, lawatan tersebut turut disertai Pemangku Pengarah Kampus PPKS Miri Syuhaira Mohd Zin, Eksekutif Kanan Program dan Studies Roziana Abdul Rahman dan Penasihat I Kelab Pustakawan Sawaliah Lajat.


“Kami begitu mengagumi kecanggihan sistem yang dilaksanakan di perpustakan UBD yang sememangnya jauh berbeza dengan apa yang kita amalkan di sini. “Tidak dapat dinafikan dengan adanya teknologi yang canggih akan menjadikan sistemnya lebih teratur dan sangat memudahkan para pelajar,” katanya.


Jelas Noraini, susulan lawatan tersebut, diharap terdapat ilmu yang diperolehi dapat diaplikasikan di perpustakaan PPKS Miri kelak agar para pelajar lebih minat untuk ke perpustakaan.


“Kadang-kadang persekitaran juga mempengaruhi sebab mengapa pelajar hendak ke perpustakaan, kalau di UBD, perpustakaan yang besar itu begitu cantik sehinggakan begitu ramai pelajar yang meluangkan masa belajar di situ,” katanya.