Hari Terbuka PPKS/i-CATS Miri Dianjur Dengan Jayanya




Dalam usaha mempamerkan hasil reka cipta dan inovasi serta sempena Hari Inovasi, Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sawarak (ICATS) Kampus Miri baru-baru ini telah mengadakan Hari Terbuka PPKS/ICATS 2018.


Program terbabit adalah inisiatif kendalian Unit Akademik dan Latihan PPKS/ICATS sejajar perkembangan teknologi digital masa kini.

Pemangku Pengarah PPKS/ICATS Miri Syuhaira Mohd Zin berkata, program itu turut membuka ruang kepada para pelajar daripada pelbagai kursus untuk melibatkan diri mengambil bahagian dalam reka cipta.


“Program hari berkenaan juga kita buka kepada orang awam bagi membolehkan mereka melihat hasil reka cipta para pelajar PPKS/ICATS. “Ini sejajar dengan perkembangan teknologi digital terkini khususnya dalam Revolusi Industri 4.0,” jelasnya. Beliau berharap program sedemikian dapat dilaksanakan lagi bukan sahaja untuk mempamerkan hasil reka cipta pelajar, malah turut mempromosikan PPKS/ICATS yang melahirkan generasi belia berinovasi dan kreatif.


Antara reka cipta yang menarik perhatian ramai dan merupakan pemenang tempat pertama pertandingan rekaan inovasi kategori bidang kejuruteraan ialah Cermin Pintar (Smart Mirror).


Rekaan Cermin Pintar berkenaan bukan hanya sekadar cermin muka, tetapi turut memaparkan maklumat semasa yang berfungsi sebagai perancang harian.


Ia adalah aplikasi tanpa wayar yang menggunakan ‘raspberry pi micro controller’ dan talian Internet untuk memaparkan informasi terkini seperti berita semasa, info cuaca, kalendar dan pelbagai lagi paparan maklumat lain yang memberi manfaat berguna kepada pengguna selain berfungsi sebagai cermin muka.


Menurut kumpulan yang menghasilkan rekaan terbabit iaitu Jesmine Rikan James, Roland Bernard dan Darien Janting Frankie, rekaan itu adalah hasil pembelajaran dalam gabungan subjek Micro Controller dan C++ Programming.


Jelas mereka, idea diperolehi melalui perbincangan berkumpulan dengan aplikasi Arduino. Mereka merupakan pelajar jurusan Pearson BTEC Level 5 HND Diploma Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik kampus berkenaan.


Justeru, orang awam khususnya pelajar lepasan sekolah atau mereka yang ingin melanjutkan pelajaran adalah dialu-alukan mengikuti kemasukan sesi Julai ini di PPKS/ICATS Miri.


Mereka yang ingin mengetahui lanjut boleh menghubungi Derell Ladi di talian 012-8992184 atau Bibiana (014-6948560) atau pejabat 085-622184 (waktu pejabat).


Orang awam turut boleh melayari laman sesawang PPKS/ICATS Miri di www.ppks.edu.my/miri (http://www.ppks.edu.my/miri).